Isnin, 5 Mac 2012

Kisah dari Tong Sampah

Aku baru sahaja selesai isi borang income tax melalui online. Tarikh akhir isi borang BE ni 30 April 2012 ea kekawan. Kalau terlupa pautan ke LHDN, kawan-kawan boleh klik pada pautan ini https://e.hasil.gov.my/ atau taip sendiri di ruangan URL yang disediakan. (Aku lebih suka taip sendiri di ruangan URL bagi mengelakkan terpergi ke halaman web palsu.) Kebiasaannya aku cetak borang BE yang telah diisi dan pengesahan penghantaran sama ada pada kertas atau secara softcopy.  Aku ada satu fail khas untuk LHDN ni, semua borang dan resit simpan dalam tu. Kekadang terhilang juga resit-resit  yang boleh digunakan untuk LHDN tu tidak terus disimpan.

Kisah dari tong sampah ini bermula apabila aku membelek kertas yang ada dalam fail khas ini. "Emmm dah kuning dah kertas ini... Patutla pun dah lama rupanya. Layak dibuang ni." kata hatiku. Sudah selesai mengemas fail tersebut, aku bawa kertas-kertas yang hendak dibuang ke bakul sampah. Memula aku nak konyok-konyokkan je kertas-kertas ni, tapi teringat kat situ ada  maklumat mengenai aku, hubby, bank dan maklumat sulit yang lain-lain. "Eh! Yang ni tak boleh buang macam tu je. Kena koyak-koyak ni." Aku terus kembali ke meja dan bawa bersama bakul sampah. Mataku mula mencari gunting. Tak jumpa. Alternatifnya, aku gunakan tangan yang sempurna kurniaan Yang Maha Esa untuk mengoyakkannya. Ketika itulah aku teringat kisah yang diceritakan oleh sahabatku, Neeza tentang sebuah catatan yang beliau temui di dalam tong sampah baru-baru ini. 

Keratan di atas dikongsikan atas kebenaran sahabatku, Neeza. Terima kasih Neeza.
Tersenyum aku sorang-sorang teringatkan kegigihannya mencantumkan keratan tersebut. Tindakan sahabatku itu mungkin didorong oleh terjadinya pelbagai kes sekarang ini (teringat kes yang terjadi di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di mana bekas pekerja mengikat dan menutup mulut salah seorang kanak-kanak di pusat jagaan tersebut semata-mata tidak berpuas hati terhadap majikan). Jadi, kestabilan emosi dan mental mereka yang diambil bekerja memang wajar dipantau. Kalau tidak, esok lusa kita yang haru-biru.


Apa-apa pun itu hanya catatan luahan hati seorang pembantu rumah. Mungkin tidak penting pada aku, tetapi penting pada sahabatku sebagai majikan. Bila teringatkan kepentingan maklumat itu berbeza-beza mengikut individu, jadi aku kutip semula koyakkan kertas yang telah berada di dalam bakul sampah kerana asalnya koyakkannya tu besar-besar. Aku ulang semula perbuatan mengoyak tadi cuma bezanya kali ini aku koyak kecil-kecil. Aku perlu lakukan begini untuk mengelakkan kecurian identitiku ataupun salah guna maklumat tersebut oleh individu lain di kemudian hari.

Moral:
  1. Kepentingan sesuatu maklumat itu bergantung kepada individu. Kerana alasan itulah, teknik menghapuskan maklumat itu juga perlu dipertimbangkan agar maklumat itu tidak jatuh ke tangan orang yang mempunyai perbezaan kepentingan.
Tips:
  1. Kategorikan 'sampah' tersebut dan buang di tempat yang sepatutnya. Kategorikan 'sampah' tu maksudnya teliti semula apa maklumat yang terkandung di dalamnya. Adakah maklumat lama itu berada di dalam kategori 'sangat sulit', 'sulit' dan 'tidak sulit'. 
  2. Teknik pengendalian 'sampah' juga sepatutnya berbeza mengikut kategori maklumat yang terdapat di dalamnya. Pernah tak tengok cerita Erin Brockovich (kisah benar lakonan Julia Roberts) dan Tourists (lakonan Angelina Jolie)? Ini adalah antara cerita yang terlintas dalam kotak ingatan aku tentang bagaimana 'sampah' itu dikendalikan oleh individu yang mempunyai perbezaan kepentingan. 
p/s: Ini entri terakhir bagi tugasan 1Citizen. Insyaallah, jika aku ada kelapangan, akan ku update dari masa ke semasa tentag kehidupan di dunia digital. :)

Ahad, 4 Mac 2012

Kita Merancang Allah Yang Menentukan

Seronok pagi ini, semua bahan untuk kuliah dah selesai. Soalan kuiz dan tugasan pun dah selesai. Sekarang dah pukul 11.00 pagi. Ada sejam lagi sebelum kuliah bermula. Terus seluk tangan dalam beg tangan, mencari sesuatu. Alahai tak jumpa pula, detik di hati. Apa lagi, keluarkan semua barang dalam beg tangan tu, tapi tak jumpa juga. "Aduhai susah la macam ini. Mesti tertinggal kat rumah ni. Tak pe ada masa satu jam lagi ni. Sempat ni. " Tangan terus capai beg tangan, beg laptop dan kunci kereta. 

Oleh kerana hujan lebat, aku ambil masa 20 minit nak sampai ke rumah. Sejurus je sampai, parking kereta, buka pagar, buka pintu rumah, buka kasut dan terus menuju ke meja makan. "Ha, kat sini rupanya. Alhamdulillah." 

Jam menunjukkan 11.30 pagi. Tersenyum aku sebab aku ada masa 30 minit lagi sebelum kelas bermula. Aku pun terus memakai semula kasut, kunci pintu, kunci pagar dan masuk ke dalam perut kereta hitamku itu. Enjin pun aku startkan. "Aik, lain macam je bunyi ni." Aku keluarkan kunci kereta dari slotnya dan masukkan semula. "Aik, napa tak nak start ni?" dan aku pun mencuba untuk kali ke 3 dan ke 4. Confirm bateri kong! Tengok jam dah 11.35 pagi. Aku ada jumper. Jeling kiri dan kanan, cari kereta jiran mana tahu jiran ada di rumah. Tak ada seorang pun di sekeliling. Aku dah panik. "Tak boleh jadi ni". 

Aku terus mencapai handphone dan menghubungi suami. Jam menunjukkan 15 minit lagi sebelum kuliah bermula. "Tak sempat ni aku nak ke kuliah" Aku terus ubah perancangan perkuliahan hari ini. "Aku kena online kan bahan-bahan kuliah ini" fikirku. 

Aku pun terus masuk semula  ke dalam rumah dengan membawa beg laptop. Onkan laptop, pasang broadband dan online. Sementara menunggu Google Chrome aku berfungsi sepenuhnya, teringat sesuatu, aku kini berada di luar rangkaian intranet kampus. Aku terus menghubungi sahabatku, Nan. "Nan, minta tolong uploadkan bahan yang akan aku emailkan kejap lagi. Upload ke dalam UCiTV ea, boleh?" Nan, seorang sahabat yang memang terkenal dengan sikap suka membantu. Lega hatiku. 

Jam 12.05 tengahari. Rasa-rasanya semua pelajar dah berada di dalam kelas sekarang ini. Jadi aku pun terus menghubungi wakil kelas. 

Saya: "Syamil, saya tidak sempat ke kelas hari ini. Minta tolong maklumkan kepada rakan-rakan untuk upload tugasan kat folder UCiTV ea! " 
Syamil: "Dateline bila puan?"
Saya: "Semua maklumat ada dalam fail tu. Kalau ada nak tanya, boleh tanya waktu amali esok ea."

Alhamdulillah bantuan sampai pada pukul 12.30 tgh. Aku bersyukur hari ini. Walaupun masalah ini timbul last minute sekurang-kurangnya teknologi ada di tangan aku mudah aku mengubah semula perancangan asal. Bertambah syukurnya apabila kali ini bateri handphone dan laptop tak kong. Broadband modem juga bersama aku kali ini.

Tips untuk mengelakkan handphone yang dibawa tidak boleh digunakan ketika kecemasan:
  1. Periksa status bateri handphone setiap hari.  
  2. Untuk menjimatkan penggunaan bateri, letak dalam mod standby.
  3. Elakkan bermain game dalam handphone bagi menjimatkan penggunaan bateri. Malangkan memang tidak berbau.
  4. jangan lupa bayar bil tepat pada waktunya. Jangan pula nanti ada handphone, bateri ok tapi tak boleh guna sebab tak ada kredit.

Sekadar selingan - ni gambar Alya ketika berumur setahun lebih menggunakan webcam laptop Mak Ngah untuk tatapan makcik-makciknya yang berada di merata lokasi.


Sabtu, 3 Mac 2012

Kisah 2: Laman mukabuku adikku digodam! (samb.)

Entri kali ini menyambung kisah laman mukabuku adikku yang telah digodam oleh mereka yang pada awalnya mengelarkan diri mereka Hacker n Cracker. 

Hari ini, laman mukabuku 'Mak Wa' seolah-olah memaparkan Mak Wa yang sebenar. Mana tidaknya, gambar profil 'mak wa' sudah kembali pada wajah adikku yang sebenar. Maklumat mak wa juga tidak diubah oleh 'mak wa' ini. Gambar-gambar yang dikongsi oleh Mak Wa pun masih di situ termasuklah gambar tempat kerja dan anak saudara Mak Wa, Alya. Senang kata segala data yang menunjukkan Mak Wa yang original tidak diusik langsung oleh 'mak wa' ini. Aku rasa tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanya untuk menyakinkan rakan-rakan yang mengunjungi laman 'mak wa'. Pada pendapat aku, ini satu teknik penyamaran yang sangat menyakinkan.

Kemahiran 'mak wa' ini dilanjutkan ke bahagian post. Di sini aku kongsikan salah satu post 'mak wa'. Cuba baca dan fikirkan apa yang akan rakan-rakan adikku lakukan selepas membaca post ini. Bagi mereka yang mengenali Mak Wa dalam dunia sebenar, memang adikku ini adalah seorang yang caring, kalau tidak masakan Mak Wa mempunyai 12 ekor kucing yang asalnya terbiar.


Kalau aku meletakkan diri aku sebagai salah seorang pemegang akaun facebook yang tidak mahu akaun  kesayangan aku ini dilumpuhkan dan aku tidak mahu kehilangan kawan-kawan aku, malahan mesej ini diterima dari 'mak wa' yang memang terkenal dengan sifat caring-nya, sudah tentu aku akan mengklik pautan tersebut tanpa syak kan? Lagi menyakinkan apabila skrin komputer memaparkan paparan yang dah biasa kita lihat.  Tanpa ragu, maklumat email dan password pun dimasukkan. Perasaan terus terasa lega dan hati pun berasa riang sambil berkata "Huh! Nasib baik sempat. Kalau tak, abisla kena block, tak dapat kontek kekawan aku"

Laman mukadepan facebook yang dihasilkan dari perbuatan klik pada post 'Mak Wa'
Persoalannya, benarkah akaun anda tidak akan dilumpuhkan atau sebenarnya anda akan menjadi mangsa seperti apa yang terjadi pada adikku? Cuba bandingkan laman mukadepan facebook yang diklik dari post 'mak wa' dengan laman mukadepan facebook di bawah ini. Cuba cari kelainannya.

Laman mukadepan facebook yang sebenar
Kalau tengok sekali imbas, memang tak jauh beza kan? Yang paling ketara berbeza ialah gambar handphone. Kalau kita teliti lagi, kita dapati terdapat kelainan pada data yang kita nak masukkan di bahagian Sign Up - contohnya, pada laman web sebenar tertulis perkataan Your Email:, manakala yang palsu tertulis Your email address: Jadi, apa sebenarnya yang terjadi?
Sebenarnya, apabila anda menaip maklumat email dan password tadi pada laman web facebook yang palsu, anda telah menyalurkan maklumat privasi tersebut kepada si Hacker n Cracker. Ini membolehkan si Hacker n Cracker memasuki laman facebook anda pula. Teknik mencuri data begini yang dinamakan phishing.

Untuk pengetahuan pembaca semua, teknik phishing adalah salah satu teknik yang menggunakan kelemahan manusia dengan satu tujuan iaitu mencuri maklumat peribadi anda untuk memenuhi kepentingan si pengodam. Dalam bidang saya, teknik-teknik mencuri maklumat melalui kelemahan manusia ini dikenali sebagai kejuruteraan sosial (social engineering).  Insyaallah, teknik-teknik lain dalam kejuruteraan sosial ini akan ku kongsikan pada entri yang akan datang.

Dengan itu, berhati-hatilah wahai teman. Lindungi maklumat anda sebaik mungkin di mana jua anda berada terutama apabila anda melayari dunia tanpa sempadan ini. 

Moral: Sekiranya anda menerima sebarang mesej yang meminta maklumat privasi anda, selidik terlebih dahulu kebenarannya. Jangan sesekali memberikan maklumat rahsia anda walaupun kepada kenalan baik anda. 
Tips:
  1. Taiplah alamat pautan di ruangan yang telah disediakan. 
  2. Laman web yang memerlukan anda memberikan kata laluan akan mempunyai dua ciri iaitu (a) simbol manga dan (b) https:// 
Ini menunjukkan pautan yang mempunyai pautan keselamatan.

Pesan seorang sahabat IT:




Laman mukabuku adikku digodam!

Suatu pagi Sabtu pada 29 Oktober 2011, aku terima mesej teks dari Mak Wa. "Eh korang! Akaun facebook aku tak boleh masuk lah. Dah puas semua password aku cuba. Email aku pun x blh buka."

Berderau darah aku, jantungku berdegup kencang, terus teringat simptom yang sama terjadi pada salah seorang sahabatku. Ya Allah jauhkanlah apa yang aku fikirkan ini! Dengan jari yang menggeletar, aku pun login ke laman sosial. Perkara yang ku takuti kini terpampang di depan mataku. Laman mukabuku adikku telah digodam!    
Ini hasil print screen kami ke atas laman facebook Mak Wa yang digodam.

Gambar profil adikku yang comel telah ditukar ke gambar Hacker n Cracker yang tersenyum. Masa kitaorang capture gambar ni, segala gambar dan maklumat yang dimasukkan oleh adikku tidak diubah oleh individu yang tidak dikenali ini.  

Yang menjadi kepelikan pada aku masa tu ialah macam mana individu ini boleh memasuki dua akaun  (facebook dan email) adikku dalam masa yang singkat. Rasanya korang tahu apa jawapannya kan! 

Hingga kini, aku masih mengikuti perkembangan facebook 'Mak Wa' walaupun adik-adik yang lain dah remove 'mak wa' ini dari senarai friends dorang.

Kisah lanjut nasib laman mukabuku adikku ini akan ku kongsi dalam kisah seterusnya. 

Moral: Gunalah password yang berbeza untuk akaun yang berbeza-beza. Masalahnya macam mana nak ingat kalau dah banyak? Silap-silap nanti kena block. 
Tips sahabat aku ini mungkin dapat membantu masalah lupa ini. Sediakan tiga password. Kenapa tiga, kenapa tak dua, empat ke dll? Kebiasaannya semua sistem yang menggunakan password akan bagi u all tiga kali peluang. Aku dah buat, korang cubalah juga ea. :)

Ahad, 26 Februari 2012

Tanyalah Pakar

Kisah cItam di bawah ini membawa ingatan saya kepada pepatah Melayu: Hanya Jauhari yang Mengenal Manikam. Ia membawa maksud hanya orang yang pakar yang mengenal tentang keelokkan ilmu dalam bidangnya.

Sabtu - 25 Febuari 2012. Setibanya aku ke rumah nenek Alya, mak Usu tunjuk keadaan cItam, salah seekor kucing yang dilahirkan oleh cTompok - anak mak putih. Kulit kepala cItam tersiat, mungkin ada binatang lain mengasarinya. cItam tak mampu berdiri, hanya diam terbaring dan memejamkan mata. Alahai cItam... sayu hati kami melihatnya. Mak Usu ambil cItam dan letakkannya dalam bakul pakaian. Sunggul je wajah Mak Usu.

Keadaan cItam yang meluluh hati kami sekeluarga.

Ketika ini, memang aku terfikirkan Mak Wa je. Cuba dail nombor Mak Wa, tak berjawab pula. Alahai, bertahan ea cItam. Mak Wa memang tahu pasal perihal kucing, almaklum, sekarang ni Mak Wa ada lebih kurang 12 ekor kucing termasuklah cKembang. 

Oleh kerana Mak Wa tidak dapat dihubungi, aku terus bertanya pada Mr. Google. Wah, punyalah banyak link ni, mana nak klik ni? Boleh sesat macam niTetiba terus teringat tips yang aku pelajari dalam kursus 1Citizen: penggemar/pakar dalam sesuatu bidang biasanya akan berkongsi pengalaman dalam online forum atau online blog

Setahu aku, Mak Wa ada online blog dengan pencinta-pencinta kucing. Cuma aku tak ingat link-nya. Apa lagi, masuk facebook, kemudian cari nama Mak Wa. Eurika!! Dah jumpa pun linknya: http://kakimotong.blogspot.com/  Sebaik sahaja maklumat yang dikehendaki dijumpai, aku terus bagi arahan pada Mak Usu untuk membersihkan luka cItam sebelum disapu dengan minyak gamat. 

cItam ditempatkan dalam bakul selepas dicuci luka dan disapu minyak gamat pada luka dan  kakinya

Hasilnya tara!!! Alhamdulillah, keesokkan harinya dah nampak cItam mula berdiri dan berjaya keluar dari bakul. Syukur, kami dah boleh menarik nafas sedikit lega. 

Kepada rakan-rakan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang 1Citizen, layarilah laman web rasminya http://www.1citizen.com.my/. Ini pula logo rasmi 1Citizen.







Cinta MukaBuku

Kisah ini tiada kaitan dengan penyanyi Cinta Mukabuku - Najwa tetapi kisah ini berkaitan dengan cinta kami ke atas cKembang. cKembang adalah kucing berbulu putih yang di bawa keluar oleh Mak Wa dari rumah asalnya, rumah nenek Alya.

Kecanggihan teknologi kini memang sangat membantu. Walaupun Mak Wa membawa cKembang jauh dari kami, kami tetap dapat melihat perkembangan cKembang melalui laman facebook-nya. Inilah yang dikatakan dunia tanpa sempadan - dunia cKembang di sana dapat kami lihat dari sini. Sesiapa sahaja boleh berkongsi maklumat melalui teknologi yang ada sekarang. Tapi ingat, sebelum berkongsi maklumat, fikirlah akibat/kesan perkongsiannya.

Kini cKembang berada di facebook keluarga kami



Sabtu, 25 Februari 2012

Sumber Inspirasi

Salam.

Memang dah lama aku nak mengikut langkah adik-adikku untuk berblog. Cuma tidak pernah direalisasikan disebabkan masa. Hehe, alasan sebenarnya tu. Semua orang diberikan masa yang sama, masih 24 jam, mana ada 25 jam kecuali pada restoran kat sini.

Dalam merealisasikan sesuatu hasrat, kadang kala faktor pendesak perlu ada. Hehe... inilah yang terjadi dalam kes aku, kalau tidak kerana tugasan 1Citizen yang perlu disiapkan dalam tempoh dua minggu itu, tidaklah aku berada dalam dunia blog ini.


Permulaan langkahku ke dunia blog diinspirasikan dari dunia pemilik kaki kecil ini yang bernama Alya. Satu-satunya anak saudara yang aku ada - buat masa ni la. 

Sayang Alya - maklong